Monday, October 5, 2020

Nikah Ketika Hamil

Assalamualaikum


Ada orang bagi fatwa, bahawa tak sah kahwini wanita yg sedang hamil akibat zina. kalau dibuat akad maka tak sah dan mereka dianggap bersekedudukan zina.

Sahkah kahwin wanita yg sedang mengandung anak zina?
Anak tu nak di binkan kepada siapa apabila telah lahir?
Kalau anak tersebut lahir selepas 6 bulan kahwin adakah sah anaknya?


Terima kasih


Salam

Fatwa yg diberikan oleh kenalan anda tersebut merupakan pendapat dari Hanbali dan inilah juga pendapat Syaikhul Islam Ibn Taymiyah. Mereka menggunakan hadis Abi Sa'eed alKhudry, ra," janganlah kamu jima' (kahwin) dgn wanita hamil hingga ia bersalin." Manakala menurut syafi’I, dibolehkan dan sah nikahnya berdalilkan surah anNuur: 3 yg bermaksud; ‘lelaki yg berzina tidak mengahwini melainkan wanita yg berzina..’

Jika lahir anak selepas berlalu tempoh 6 bulan dari waktu aqadnya, maka boleh dibin/bintikan kepada lelaki tersebut(ayahnya) dgn syarat: tiada bantahan dari suami perempuan itu atau ada bantahan dari keluarga dan masyarakat.

Manakala jika kelahiran itu kurang dari tempoh 6 bulan dari waktu awad, maka tidak sabit nasab ke atas lelaki tersebut sebaliknya dinasabkan pada ibunya. Kecuali, jika lelaki itu berkata bahawa anak itu adalah daripadanya, dan dia tidak berterus-terang bahawasanya anak itu adalah hasil dari perzinaan. Dengan iqrar/pengakuan ini, maka sabitlah nasab daripadanya kerana ihtimal aqad yang lalu atau dukhul dengan syubhat. Seorang muslim hendaklah berbuat kebaikan dan menutup atas kehormatannya. WA. 


Memakai Pakaian Sami Budha

Salam


Diharap saudara dapat menjawab kemusykilan saya

Adakah dihukum kafir bagi orang yang memakai pakaian sami buddha walaupun tanpa niat menyekutukan Allah dan kerana jahil?

Bagaimana pula hukum orang yang membuat filem tahyul?

Adakah taubat nasuha dapat menghapuskan dosa bagi perilaku2 di atas?

Benarkah taubat itu penghapus segala dosa? Sekiranya telah bertaubat tetapi tidak dapat memulangkan hak org yg dizalimi sebelumnya kerana
i. berbahaya kepada diri sekiranya dimaklumkan kesalahannya
ii.tak dapat menjumpai orang yg dizalimi itu

bagaimanakah halnya?

terima kasih



Salam

Seni lakon baik lakun TV atau teater atau cinema pun sama juga dgn seni suara. ia harus dgn harus bersyarat. Jika ia melanggar syarat-syarat keharusannya, maka pendapatan dari seni suara dan seni lakun menjadi syubhah atau haram.

Perkara Murtad boleh berlaku dengan sengaja ataupun bergurau. Berlakun atau mengenakan pakaian ‘suci’ org bukan islam dengan melakukan ibadah2 org bukan islam dengan sengaja boleh merosakkan akidah seseorang. Ini kerana urusan masuk keluar agama tidak ada kompromi dalam Islam. Jika ia jahil, maka ia berdosa besar dan hendaklah segera bertaubat.
Sekiranya si murtad jika ia bertaubat, maka taubatnya di terima. Menurut kacamata hukum Islam dia terlepas dari hukuman hudud, manakala di sisi Allah, taubatnya akan diterima berdasarkan keikhlasan hatinya.

Jika pelaku dosa itu bertaubat dengan taubat nasuha, dosanya akan diampunkan. Ini jika Allah mengkehendaki. Ada juga dengan sebab syafaat orang lain. dsbnya. Namun kewajipan kita ialah bertaubat kepada Allah. Dia berjanji akan menerima taubat nasuha. Inilah pegangan kita Ahlus Sunnah. Ia bercanggah dengan pendapat Muktazilah yang mengatakan bahawa pelaku dosa besar akan kekal berada di antara dua tempat (manzilah baina manzilatain). Iaitu suatu tempat di antara syurga dan neraka. Juga bercanggah dengan pendapat kaum Khawarij yang mengkafirkan pelaku dosa besar.

Menurut Ahlus Sunnah:
Terdapat beberapa sebab penghapus dosa, antaranya:
1. Taubat nasuha
2. Istighfar - Pada hakikatnya ia termasuk taubat
3. Melakukan kebaikan dan ketaatan.
4. Mendapat musibah dan bala'. Jika dia bersabar, dia akan mendapat pahala dan dosanya akan dihapuskan.
5. Azab kubur
6. Huru-hara pada hari kiamat.
7. Syafaat orang dengan izin ALlah pada hari kiamat.
8. Keampuanan dari Allah tanpa mana-mana syafaat.
9. Doa dan istighfar dari orang mukmin, samada semasa hidup atau selepas mati.
10. Pahala yg dihadiahkan kepada orang mukmin.


Kesimpulan:
1. Apabila seorang muslim telah murtad kemudian kembali bertaubat dengan taubat nasuha, maka taubatnya itu diterima. 


Penggunaan Tangkal Azimat

Salam


apakah hukum memakai takal menurut pandangan islam untuk pendinding diri, utk budak menangis dan sbgnya.
bagaimana cara org zaman nabi menggunakan kaedah utk menyembuhkan penyakit. ada juga yg menggunakan ayat quran yg ditulis diatas kain putih lalu direndam dlm air ,lalu diminum.boleh terang serba sedikit kaedah menggunakan ayat al quran ini dlm perubatan, bagaimana cara yg betul.



Salam

Terima kasih kepada saudara ADN. Soalan seperti ini telah dijawab oleh Ustaz Zain, Ustaz Pendekar dan juga Ustaz thtl sebelum ni dengan baik. Utk memudahkan semua, saya akan compilekan jawapan ustaz2 kita sebaik mungkin insya Allah

Apakah hukum memakai takal menurut pandangan islam?

Tangkal (Tamimah) yang diamalkan oleh masyarakat Arab purba ialah amalan menggantungkan permata-permata atau manik-manik kepada kanak-kanak dan percaya ia dapat menghindarkan dari penyakit, menolak gangguan sihir dan membawa kebaikan.

Dalil-dalil yang mengharamkannya:

1. maksud hadis,"sesiapa yang menggantung tamimah (tangkal dari permata) , maka Allah tidak akan menyempurnakannya (akan hajatnya), sesiapa yang menggantung wad'ah (tangkal berupa kulit-kulit kerang dari laut), maka Allah tidak memberi keamanan baginya" HR Imam Ahmad, al Musnad Jld 4, ms 154.

2. maksud al hadis,"sesiapa yang menggantung azimat, sesungguhnya ia telah melakukan syirik." HR Imam Ahmad, al Musnad Jld 4, ms 156

3. maksud alhadis,"sesungguhnya azimat (jampi), tangkal, dan tiwalah (minyak pengasih) adalah syirik." HR Ibn Majah, Jld 2, ms 1166 hadis no 3530.

Syarah/Penjelasan:

1. Sebab diharamkan benda-benda ini ialah kerana kita beriktikad (yakin) bahawa yang memberi mudharat dan manfa'at hanya Allah semata-mata. Sesiapa yang percaya ada kuasa lain yang boleh memberi mudharat dan kebaikan maka aqidahnya telah sesat.
2. FirmanAllah,
" Jika Allah menimpakan sesuatu mudharat kepadamu, maka tiada yang dapat menghilangkannya melainkan Dia. Dan jika Allah mengkehendaki kebaikan bagimu, maka tiada yang dapat menolak kurniaan-Nya." maksud ayat Surah Yunus:107

3. Furqan:3

4. anNaml: 65

5. alA'araf: 188
----------------------------------

Segolongan fuqaha' mengharuskan tangkal dan azimat yang berbentuk ayat alQur'an:

1. al Khitobi (Fathul-Majid, ms 126)

2. Imam Ibn Hajar dalam fathul Bari: Tangkal itu harus jika menepati tiga perkara:
* ianya berbentuk ayat alQur'an
* dengan bahasa Arab
* i'tiqad bahawa tangkal tidak memberi kesan dengan sendiri melainkan dengan kuasa Allah jua.

Rumusan 1:

1. Menggunakan tangkal adalah kufur jika beriktiqad bahawa tangkal itu boleh memelihara dari kejahatan dan membawa kebaikan. (Fatwa Syaikh Atiyyah Saqar, Fatwa al-Azhar)

2. Tangkal dan azimat yang diperbuat selain ayat alQuran tidak boleh dibolehkan (fatwa Ibn Hajar)

3. Tangkal dari buah limau dan kemenyan serta pagar rumah perlu dinilai dengan pendapat ulama' di atas..


Kaedah menggunakan ayat al quran ini dlm perubatan, bagaimana cara yg betul?

Dalil yg membolehkan ayat AlQur'an untuk berubat ialah dari surah al-Isra': 82

“Dan Kami turunkan dari alQuran sesuatu yg menjadi penyembuh dan rahmat bagi orang2 yg beriman”

Penjelasan Imam Hasan Albanna, Mursyid dan Imam dalam asas 20 dari Risalah Ta'alim (bab rukun faham): pada asas ke 4, al-Imam al-mursyid menjelaskan tangkal, jampi, mentera, mengaku mengetahui perkara ghaib dan seumpamanya adalah kemungkaran yg wajib diperangi, kecuali jampi-jampi dari al-Quraan atau jampi-jampi yg diterima dari Rasulullah saw."

Keterangan:

Langkah pertama kita hendaklah mencari asbab atau sebab dan akibat kepada sesuatu natijah. Misalnya makan sebab hilangnya lapar, air asbab hilangnya dahaga, bekerja/berusaha menghasilkan pendapatan dan kekayaan. Begitulah berubat jika ditimpa kesakitan. Dalilnya:

1. HR Muslim dari Jabir ra," setiap penyakit ada obatnya. Jika ada obat yg sesuai untuk suatu penyakit, maka dgn izin Allah ia akan sembuh"

2. HR Bukhari-Muslim," Allah tidak menurunkan sesuatu penyakit, melainkan Dia juga yg menurunkan penyembuhnya.

Perihal menggunakan ayat-ayat alQuraan untuk berubat.

Komentar Imam Hasan lagi: Di samping hukum sebab dan akibat dan asbab yg bersifat kebendaan, terdapat juga sebab-sebab maknawi (ghaibiyat) yg boleh menghasilkan natijah seperti do'a dari orang-orang yg soleh. Maka berdo'a dan jampi yg berasal dari ayat-ayat suci termasuk dalam bab asbab maknawi (kebatinan) dan diharuskan syara'. Inilah pendapat jumhurul ulama' dari dulu.

Apakah perlu ada dalil ayat tertentu untuk penyakit tertentu?
Imam Jalaludin asSyuyuti berpendapat tidak wajib asalkan ia ayat alQur'an, do'a-do'a makthur atau jampi-jampi yg difahami maknanya dalam bahasa Arab yg tiada unsur syirik boleh dijampi dan dibaca untuk semua jenis penyakit.

Rumusan 2:

Apabila kita ditimpa penyakit. Langkah pertama ialah mencari asbab-akibat zahir, yakni menggunakan teknologi perubatan yg ada baik dari Barat atau Timur. Jika ada yg mencari asbab maknawi seperti berdo'a dan menjampi dgn ayat alQur'an atau do'a-doa Nabi yg makthur pun diharuskan sebagai langkah pelengkap pada usaha keduniaan tadi. 


Aurat Dalam Solat 2

Terima kasih kerana saudara telah menjawab soalan saya sebelum ini. Cuma ada sedikit yang saya kurang faham. Harap saudara dapat jelaskan lagi. Mohon maaf :crazy:


Ada disebutkan tentang dianggap aurat kelihatan sekiranya dipandang dari keliling. Bagaimana pula dengan orang yang solat memakai kain pelikat dan kelihatan sedikit bhgn atas lututnya ketika dia sujud? Dianggap kelihatan dari keliling dan tidak sah solat juga?

Bagaimana pula sekiranya baju/kain itu memang terbuka tetapi tidak kelihatan aurat kerana bayang2 baju/kain itu cukup gelap higgakan tak kelihatan jelas aurat, samar2 bentuk saja?

Terima kasih

Mencari ilmu sebagai bekalan...



Salam

Di dalam jawapan SU-00020 tersebut telahpun memasukkan persoalan saudara itu. Mari saya ambil petikan yg berkaitan:

Quote:
Maksudnya, Syeikh Daud di tanya: Apakah batal sembahyang seseorang yang memakai kain singkat, kemudian semasa rukuk dan sujud terlihat auratnya. Dan, orang ini pula sebenarnya sengaja memakai kain berkenaan, padahal ada kain lain yang tidak singkat yang boleh dipakainya?
Syeikh Daud jawab tidak batal sembahyangnya, kerana aurat berkenaan kelihatan dikira dari arah bawah, bukan dari arah keliling atau atas.


Soalan yang diutarakan oleh saudara lebih kurang sama dgn soalan yg dikemukakan kpd Sheikh Daud di atas. Di dalam jwpn beliau, aurat yg kelihatan ketika sujud(lutut dan atasnya) di kira pandangan bawah bukannya keliling. Dan memandangkan aurat yg kelihatan dari pandangan bawah tidak membatalkan solat maka sahlah solat tersebut.

Perihal soalan saudara yg kedua, bayang2 bukanlah persoalannya. Sekiranya bayang menjadi syarat aurat nescaya sembahyang di dalam gelap tanpa menutup aurat juga dikira sah. Tetapi bukan begitu. Sekiranya diyakini aurat itu kelihatan dari pandangan atas dan keliling, tidak kira dlm keadaan terang mahupun bayangan, solat tetap tidak sah.

Diharap penjelasan ini mencukupi. Sekian.  


Aurat Dalam Solat

Salam


Terima kasih kerana memberi ruang saya bertanya soalan di sini. Alhamdulillah byk persoalan yang saya selalu fikirkan dan tidak ambil kisah telah terjawab. Maaf sekiranya byk bertanya. Diharap saudara dapat menjawab persoalan ini.

Merujuk JAWAPAN SOALJAWAB 43

2. Masalah: Memakai baju melayu tanpa butang…

Jawapannya: Seandainya saudara mengikat kain (atau seluar) di bawah paras pusat (pusat tidak tertutup), sudah tentu ia dapat dilihat secara yakin dari atas, maka batal sembahyangnya. Kerana aurat dikira terdedah. Sebaliknya jika saudara mengikat kain di atas paras pusat, sudah tentu tidak menjadi apa-apa.


adakah yg dimaksudkan di sini kelihatan dengan yakin dari atas ketika qiam atau rukuk/sujud? kerana ketika qiam saya rasa baju melayu itu (cekak musang/teluk belanga) pasti masih rapat ke dada dan tidak kelihatan aurat dari atas. manakala jika ruku'/ sujud mungkin kelihatan dari keliling, bukan dari atas? Adakah tidak sah solat?

jika dianggap tidak sah solat kerana aurat terlihat dari keliling ketika ruku' sujud, bagaimana pula dengan baju tshirt berkolar dan kemeja yang tidak dibutangkan butang atasnya? kerana saya rasa ketika sujud/ruku' dengan baju demikian akan terlihat juga aurat dari keliling kerana kolar dan bahagian hadapan baju terpisah dari dada? maka adakah tidak sah solat?

apakah yang dimaksudkan dapat dilihat dengan yakin dari atas? apa maksud "yakin" dan apa maksud "atas"? adakah atas di paras pandangan mata atau dari siling? dan bagaimana pula maksud keliling?

Sekian, terima kasih



Salam

Insya allah kami akan menerangkan mengenai kekeliruan saudara.

Untuk memudahkan kita, saya akan pastekan SJ 43 tersebut:

Quote:
Definasi aurat menurut bahasa ialah kekurangan. Menurut istilah syarak pula ialah sesuatu yang wajib disembunyikan dan yang haram dilihat.
Aurat adalah salah satu dari syarat sah sembahyang. Menurut ijmak ulamak, aurat itu wajib ditutup dalam semua keadaan samada di dalam sembahyang atau di luar sembahyang. Hanya, bentuk penutupan itu sahja yang berbeza-beza menurut keadaan-keadaan tertentu..
Firman Allah Taala:
Ertinya: “Pakai pakaian kamu yang indah berhias pada setiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang). (Al-A’raf:31)
Ibnu Abbas menafsirkan ayat di atas sebagai pakaian ketika bersembahyang.
Rasulullah s.a.w. telah bersabda:
“Allah tidak menerima sembahyang perempuan yang telah baligh tanpa tudung kepala.” (HR al-Hakim)

Mengenai masalah yang saudara tanyakan, jawapannya adalah:
1. Aurat mestilah ditutup dari arah keliling dan atas, tidak dari arah bawah.
Apabila seseorang itu memakai kain yang singkat, kemudian ketika rukuk atau sujud terlihatlah auratnya, apakah batal sembahyangnya? Sebagai jawapannya adalah sebagai berikut:
“(Suila radhiallah u anhu) daripada memakai kainnya itu singkat hal menutup ia akan auratnya dan sembahyang ia maka kelihat tatkala ia rukuknya dan sujudnya adakah batal sembahyangnya atau tiada, dan jikalau disahajanya sekalipun dan didapatnya kain yang lain.
(Maka dijawabnya) tiada batal sembahyangnya dan jika ada ia orang yang kuasa kerana kelihat itu belah pihak bawah bukan pihak atasnya dan kelilingnya.”
(Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, Furu’ al-Masa’il, vol. 1, hal. 76, cet. Darul Fikr)
Maksudnya, Syeikh Daud di tanya: Apakah batal sembahyang seseorang yang memakai kain singkat, kemudian semasa rukuk dan sujud terlihat auratnya. Dan, orang ini pula sebenarnya sengaja memakai kain berkenaan, padahal ada kain lain yang tidak singkat yang boleh dipakainya?
Syeikh Daud jawab tidak batal sembahyangnya, kerana aurat berkenaan kelihatan dikira dari arah bawah, bukan dari arah keliling atau atas.
2. Masalah: Memakai baju melayu tanpa butang…
Jawapannya: Seandainya saudara mengikat kain (atau seluar) di bawah paras pusat (pusat tidak tertutup), sudah tentu ia dapat dilihat secara yakin dari atas, maka batal sembahyangnya. Kerana aurat dikira terdedah. Sebaliknya jika saudara mengikat kain di atas paras pusat, sudah tentu tidak menjadi apa-apa.
3. Tentang mahu memakai pakaian apa, dan bagaimana caranya adalah terpulang… Asalkan dapat menutup batas-batas aurat yang telah ditetapkan di dalam sembahyang. Hatta, jika bersembahyang dengan tidak memakai baju… Hanya pakai kain pelikat – Dengan menutup anggota aurat asasi sahaja – ia sudah dikira sah sembahyangnya! Walaupun sah sembahyangnya, tetapi dari segi adab antara makhluk dan al-Khaliq dikira sebagai sangat tidak patut.


Di dalam jawapan di atas dikatakan aurat mestilah ditutup dari arah keliling dan atas, tidak dari arah bawah. Maksud aurat mesti ditutup dari arah sekeliling ialah aurat itu tidak kelihatan dari arah kanan, kiri, depan dan belakang. Manakala dari pandangan atas ialah apa sahaja yang kelihatan dari pandangan atas. Maka tidak sah solat orang yang ketika sujud/rukuknya kelihatan aurat itu tanpa mengira jenis pakaian yang dipakainya(baju melayu, t-shirt, jubah, kemeja dlln) kerana telah terbuka auratnya.

Quote:
sudah tentu ia dapat dilihat secara yakin dari atas, maka batal sembahyangnya


yakin di dalam ayat di atas membawa maksud aurat itu pasti akan kelihatan dari pandangan atas, kiri, kanan, depan dan belakang. Tidak kira dalam keadaan berdiri, rukuk mahupun sujud.

Diharap kekeliruan saudara terjawab. Sekiranya masih belum berpuas hati dgn penerangan ini, bertanyalah kembali. Insya allah kami akan menerangkan lagi. 


Friday, October 2, 2020

Keratan Naskah Al-Quran Yang Telah Usang

Salam


Bagaimanakah caranya untuk menguruskan naskah al-Quran yang telah usang dan juga keratan-keratan al-Quran yang telah usang? (Misalnya kulit al-Quran koyak atau berkulat atau beranai-anai)

Adakah dibolehkan bakar, atau tanam al-Quran dan keratan al-Quran tersebut?

Atau adakah terdapat cara lebih baik bagi menjaga kesucian al-Quran usang tersebut?

Wallahua'lam



Salam

Tidak boleh melemparkan mana-mana lembaran dari al-Quran ke tanah atau ke tempat yang keji, selama di dalamnya terkandung walaupun satu huruf ataupun satu ayat suci al-Quran. Bahkan, jika ia dilakukan atas jalan menghina dan mengeji, maka jatuh kufur kepada pelakunya, wal-iyazubillahi min zalik.

Jika terdapat mana-mana lembaran al-Quran yang sudah reput atau sudah tidak dapat digunakan lagi, maka tidak mengapa menghapuskannya dengan cara membakarnya. Ini adalah untuk mengelakkan al-Quran itu dari terdedah kepada penghinaan dan kejian.

Saidina Usman bin Affan pernah memerintahkan membakar mushaf (al-Quran), kecuali al-Quran versinya (Usmani). Ini adalah bertujuan untuk memelihara al-Quran itu. Para sahabat yang lain pula tidak mengengkari perbuatan saidina Usman r.a.

Al-Sayuthi di dalam al-Itqan telah menukilan dua cara yang dibenarkan untuk menghapuskan lembaran al-Quran. Iaitu:
1. Menghapuskannya dengan air.
2. Membakarnya, sebagaimana yang telah dilakukan oleh saidina Usman r.a.

Al-Sayuthi mengatakan bahawa tidak dibenarkan mengoyakkannya.

Ada ulamak yang mengatakan bahawa, membakarnya adalah lebih baik dari menghapuskannya dengan air. Berlainan dengan al-Qadhi Husain yang melarang membakarnya, kerana ia melanggar perlakuan menghormati. Al-Nawawi mengatakan membakarnya sebagai makruh.

Manakala terdapat di dalam sebahagian kitab mazhab Hanafi, jika lembaran al-Quran tidak dapat digunakan, maka hendaklah ditanam di dalam bumi, kemudian hendaklah diletakkan tanda untuk mengelakkan dari dipijak oleh kaki manusia.

Kesimpulan, setelah melihat kepada pendapat-pendapat ulamak di atas, syeikh Athiyah Saqar telah membuat kesimpulan, bahawa membakarnya adalah cara yang paling ringan sekali. Di samping itu, hendaklah kita menjaga niat kita, iaitu untuk memelihara al-Quran itu dari ditimpa penghinaan dan kejian. (Lihat Ahsanul Kalam Fil Fatawa, vo.7, hal. 197) 


Berkenaan Kebersihan Air

1. Apa pendapat ustaz ttg baldi-baldi air yang digunakan oleh masyarakat Islam pada hari ini yang diletakkan mereka di dalam bilik air mahu pun tandas. Saya rasa sukatannya tidak melebihi 2 kolah , tambahan pula jarang baldi tersebut diisi sehingga penuh. Dan saya lihat, ramai di kalangan mereka tidak mengambil peduli akan tahap perubahan air itu seperti mutlak, mustakmal dsb. Kebanyakan mereka mandi dan bersuci dengan air tersebut. Malah, ada yang berwudhu’ dan mandi hadas besar juga dengan air tersebut. Bukankah walau setitik air daripada bhgn luar yang masuk ke dalam baldi tersebut, air tersebut sudah dikira sebagai air mustakmal? dan jika yang masuk itu adalah najis walaupun sedikit, bukankah ia telah jatuh ke tahap air mutanajjis yang najis dan menajiskan? Bermakna… air tersebut sudah langsung tidak boleh digunakan. Saya bukannya ingin terlalu mengambil berat akan masalah ini tapi kadang-kadang tu… jelas, kanak-kanak kecil dan ada yang masih belum mumayyiz juga mandi dan bermain air… dengan menggunnakan air tersebut sehingga meragukan kita untuk menggunakannya. Saya sendiri tidak begitu mengalami masalah ini kerana di rumah saya, terdapat sebuah kolah. Jadi, bagaimana dengan pendapat ustaz? atau, terdapat rukhsoh dan keringanan dalam perkara ini. ? Dan jika jelaaas tidak boleh, apakah hukumnya jikalau kita berimamkan orang yang jelas kita tahu menggunakan air tersebut untuk bersuci?

2. Apakah hukumnya bagi air yang mengalir? Cthnya pada musim hujan spt sekarang. Air kadang2 naik sehingga paras buku lali di sesetengah tempat. Jadi , apakah hukumnya air itu? Perlukah kita meneliti dari mana datangnya air tersebut atau sbgnya?



Salam

Perihal air ada kami bincangkan di forum Petikan Feqhus Sunnah: Mengenali jenis-jenis air

Di sini kami himpun dan rumuskan berkaitan bab air ini.

MACAM PERTAMA : AIR MUTLAK
Hukumnya ialah bahwa ia suci lagi menyucikan, artinya bahwa ia suci pada dirinya dan menyucikan bagi lainnya. Di dalamnya termasuk macam-macam air berikut:

1. Air hujan, salju atau es, dan air embun, berdasarkan firman Allah Taala:

Artinya:
Dan diturunkan-Nya padamu hujan dari langit buat menyucikanmu.
(Al-Anfal: 11)

Dan firman-Nya:
Artinya:
Dan Kami turunkan dan langit air yang suci lagi mensucikan.
(Al-Furqan:48

Juga berdasarkan hadits Abu Hurairah r.a. katanya:
Adalah Rasulullah saw. bila membaca takbir di dalam sembahyang diam sejenak sebelum membaca Al-Fatihah, maka saya tanyakan: Demi kedua orangtuaku wahai Rasulullah! Apakah kiranya yang Anda baca ketika berdiamkan diri di antara takbir dengan membaca Al-Fatihah? Rasulullah pun menjawab:

Artinya:
Saya membaca: Ya Allah, jauhkanlah daku dari dosa-dosaku sebagaimana Engkau inenjauhkan Timur dan Barat. Ya Allah bersihkanlah daku sebagaimana dibersihkannya kain yang putih dan kotoran. Ya Allah, sucikanlah daku dan kesalahan-kesalahanku dengan salju, air dan embun.
(H.R. Jamaah kecuali Turmudzi)


2. Air laut, berdasarkan hadits Abu Hurairah r.a. katanya:
Seorang laki-laki menanyakan kepada Rasulullah, katanya: Ya Rasulullah, kami biasa berlayar di lautan dan hanya membawa air sedikit. Jika kami pakai air itu untuk berwudhuk, akibatnya kami akan kehausan, maka bolehkah. kami berwudhuk dengan air laut? Berkatalah Rasulullah saw.:

Artinya:
Laut itu airnya suci lagi mensucikan(2), dan bangkainya halal dimakan.
(Diriwayatkan oleh Yang Berlima)

Berkata Turmudzi: Hadits ini hasan lagi shahih, dan ketika kutanyakan kepada Muhammad bin Ismail al-Bukhari tentang hadits ini, jawabnya ialah: Hadits itu shahih.

3. Air telaga, karena apa yang diriwayatkan dan Ali r.a.: Artinya:
Bahwa Rasulullah saw. meminta seember penuh dan air zamzam, lalu diminumnya sedikit dan dipakainya buat berwudhuk.
(H.r. Ahmad)

4. Air yang berobah disebabkan lama tergenang atau tidak mengalir, atau disebabkan bercampur dengan apa yang menurut ghalibnya tak terpisah dari air seperti kiambang dan daun-daun kayu, maka menurut kesepakatan ulama, air itu tetap termasuk air mutlak. Alasan mengenai air semacam ini ialah bahwa setiap air yang dapat disebut air secara mutlak tanpa kait, boleh dipakai untuk bersuci. Firman Allah Taala:

Artinya
Jika kamu tiada memperoleh air, maka bertayammumlah kamu!
(Al-Maidah: 6)

MACAM KEDUA: AIR MUSTAMAL,YANG TERPAKAI

Dalam bentuk air ini lah menjadi khilaf ulama mengenai kesuciannya untuk berwudhu
Kita telah dibesarkan dalam lingkungan mazhab Syafii. Maka logikla kalau dikatakan apa yang kita pelajari di alam persekolahan dulu merupakan pendapat mazhab Syafii. Dan mengikut mazhab Syafii air mustakmal tidak boleh digunakan untuk bersuci. Ini kena dgn Imam Syafii yang mengambil berat bab Taharah berbanding Imam Mazhab yg lain. Walaupun begitu, jumhur ulama mengatakan bahwa air mustakmal suci lagi menyucikan. Ini termasuklah juga pentahqeeq semula. Berikut diringkaskan pendapat2 tersebut:

Pendapat mazhab Syafi'I mengenai air musta'mal:
Mazhab jadid/baru: Suci tetapi tidak boleh menyucikan.
Mazhab qadim/lama: Suci dan boleh menyucikan.

Alasan pendapat mazhab Syafi'I yang mengatakan air mustakmal tidak boleh menyucikan ialah, para sahabat Nabi s.a.w. tidak pernah menghimpun air musta'mal utk kegunaan bersuci. Jika ketiadaan air, mereka tidak akan gunakan air musta'mal untuk bersuci, tetapi digantikan dengan bertayammum

Jumhur: air mustakmal itu suci lagi menyucikan


Alasannya: Hukumnya suci lagi menyucikan sebagai halnya air mutlak tanpa berbeda sedikitpun. Hal itu ialah mengingat asalnya yang suci, sedang tiada dijumpai suatu alasan pun yang mengeluarkannya dari kesucian itu.

Juga karena hadits Rubaiyi binti Muawwidz sewaktu menerangkan cara wudhuk Rasulullah saw. katanya:
Dan disapunya kepalanya dengan sisa wudhuk yang terdapat pada kedua tangannya.

Juga dari Abu Hurairah r.a., bahwa Nabi saw. berjumpa dengannya di salah satu jalan kota Madinah,. sedangkan waktu ia dalam keadaan junub. Maka ia pun menyelinap pergi dari Rasulullah lalu mandi, kemudian datang kembali. Ditanyakanlah oleh Nabi saw.; ke mana ia tadi, yang dijawabnya bahwa ia datang sedang dalam keadaan junub dan tak hendak menemaninya dalam keadaan tidak suci itu. Maka bersabdalah Rasulullah saw.:

Artinya:
Maha Suci Allah, orang Mukmin itu tak mungkin najis.
(H.R. Jamaah)

Jalan mengambil hadits ini sebagai alasan ialah karena di sana dinyatakan bahwa orang Mukmin itu tak mungkin najis. Maka tak ada alasan menyatakan bahwa air itu kehilangan kesuciannya semata karena bersentuhan, karena itu hanyalah bertemunya barang yang suci dengan yang suci pula hingga tiada membawa pengaruh apa-apa.

Berkata Ibnul Mundzir: Diriwayatkan dari Hasan, Ali, Ibnu Umar, Abu Umamah, Atha, Makhul dan Nakhai bahwa mereka berpendapat tentang orang yang lupa menyapu kepalanya lalu mendapatkan air di janggutnya: Cukup bila ia menyapu dengan air itu. Ini menunjukkan bahwa air mustamal itu mensucikan, dan demikianlah pula pendapatku.

Dan madzhab ini adalah salah satu pendapat yang diriwayatkan dari Malik dan SyafiI(lama), dan menurut Ibnu Hazmin juga merupakan pendapat Sufyan As-Sauri, Abu Tsaur dan semua Ahli Zhahir.

MACAM KETIGA: AIR YANG BERCAMPUR DENGAN BARANG YANG SUCI

Misalnya dengan sabun, kiambang, tepung dan lain~1ain yang biasanya terpisah dari air.

Hukumnya tetap mensucikan selama kemutlakannya masih terpelihara. Jika sudah tidak, hingga ia tak dapat lagi dikatakan air mutlak, maka hukumnya ialah suci pada dirinya, tidak mensucikan bagi lainnya.

Diterima dari Ummu ‘Athiyah, katanya:
Artinya:
“Telah masuk ke ruangan kami Rasulullah saw. ketika wafat puterinya, Zainab, lalu katanya: “Mandikanlah ia tiga atau lima kali atau lebih banyak lagi jika kalian mau, dengan air dan daun bidara, dan campurlah yang penghabisan dengan kapur barus atau sedikit daripadanya. Jika telah selesai beritahukanlah padaku.” Maka setelah selesai, kami sampaikanlah kepada Nabi. Diberikannyalah kepada kami kainnya serta katanya: “Balutkanlah pada rambutnya!" Maksudnya kainnya itu.
(H.R. Jama’ah)

Sedang mayat tak boleh dimandikan kecuali dengan air yang sah untuk mensucikan orang yang hidup.

Dan menurut riwayat Ahmad, Nasa’i dan Ibnu Khuzaimah dar hadits Ummu Hani’, bahwa Nabi saw. mandi bersama Maimunah dari sebuah bejana, yaitu sebuah pasu yang di dalamnya ada sisa tepung.

Jadi di dalam kedua hadits terdapat percampuran, hanya tidak sampai demikian rupa yang menyebabkannya tak dapat lagi disebut air mutlak.

MACAM KEEMPAT: AIR YANG BERNAJIS


Pada macam air ini terdapat dua keadaan:
Pertama: bila najis itu merobah salah satu di antara rasa, warna atau baunya.

Dalam keadaan ini para ulama sepakat bahwa air itu tidak dapat dipakai untuk bersuci sebagai disampaikan oleh Ibnul Mundzir dan Ibnul Mulqin.

Kedua: bila air tetap dalam keadaan mutlak, dengan arti salah satu diantara sifatnya yang tiga tadi tidak berobah. Hukumnya ia adalah suci dan mensucikan, biar sedikit atau banyak.

Alasannya ialah hadits Abu Hurairah r.a katanya:
Artinya:
Seorang badui berdiri lalu kencing di masjid. Orang-orang pun sama berdiri untuk menangkapnya. Maka bersabdalah Nabi saw: Biarlah dia, hanya tuangkanlah pada kencingnya setimba atau seember air! Kamu dibangkitkan adalah untuk memberi keentengan/kemudahan, bukan untuk menyukarkan.
(Hr. Jamaah kecuali Muslim)

Juga hadits Abu Said al-Khudri r.a. katanya

Artinya:
Dikatakan orang : Ya Rasulullah, bolehkah kita berwudhuk dari telaga Budha'ah (3) Maka bersabdalah Nabi saw.: Air itu suci lagi mensucikan, tak satu pun yang akan menajisinya.
(H.r. Ahmad, Syafii, Abu Daud, Nasai dan Turmudzi).

Turmudzi mengatakan hadits ini hasan, sedang Ahmad berkata Hadits telaga Budha'ah adalah shahih. Hadits ini disahkan pula oleh Yahya bin Ma in dan Abu Muhammad bin Hazmin.

Ini adalah pula pendapat dan Ibnu Abbas, Abu Hurairah, Hasan Basri, Ibnul Musaiyab, Ikrimah, Ibnu Abi Laila, Tsauri, Daud Azh-Zhahiri, Nakhai, Malik dan lain-lain.

Gazzali berkata : Saya berharap kiranya madzhab Syafii mengenai air, akan sama dengan madzhab Malik.

Adapun hadits Abdullah bin Umar r.a. bahwa Nabi saw. bersabda:
Jika air sampai dua kulah, maka ia tidaklah mengandung najis. (H .r. Yang Berlima), maka ia adalah mudhtharib, artinya tidak keruan, baik sanad maupun matannya.

Berkata Ibnu Abdil Barr di dalam At-Tahmid. Pendirian Syafii mengenai hadits dua kulah, adalah madzhab yang lemah dari segi penyelidikan, dan tidak berdasar dari segi alasan.

Walaupun begitu, dalil ini disahkan boleh dipakai oleh al-Muhaddith alBani


Dari rumusan di atas ini, jelaslah kepada kita bahawa air mustakmal yg tidak bertukar sifat adalah menyucikan mengikut pendapat jumhur ulama’. Maka ia dibolehkan untuk kita berwudhu’ dgnnya.

Berkenaan soalan saudara di bawah ini:

Apakah hukumnya bagi air yang mengalir? Cthnya pada musim hujan spt sekarang. Air kadang2 naik sehingga paras buku lali di sesetengah tempat. Jadi , apakah hukumnya air itu? Perlukah kita meneliti dari mana datangnya air tersebut atau sbgnya?

Air tersebut adalah suci dan menyucikan. Apa yg ghaib bagi kita, tidak perlu ditanya. Islam tidak memberatkan umatnya untuk mengorek hingga ke lubang cacing. Allahua’lam. 


Pendapatan Dari Kerjaya Artis Hiburan

Ana ada sedikit kemusykilan...

Apakah hukumnya pendapatan artis-artis pada masa kini terutamanya wanita yang memperolehi pendapatan tersebut menerusi nyanyian atau sebagainya. Bukankah suara wanita itu aurat dalam keadaan tertentu seperti nyanyian dsb sehinggakan menurut sesetengah pendapat ulamak, bacaan al-quran secara berlagu untuk didengari umum juga dihukum sebagai aurat. Jadi , bagaimana dengan pendapatan artis-artis tersebut.?


------
Salam

Terima kasih dengan soalan saudara. Kami akan membahagikan kepada beberapa soalan berkaitan soalan saudara itu iaitu adakah suara wanita itu aurat, adakah dibolehkan orang islam menjadi penyanyi dan akhir sekali pendapatan seorang penyanyi.


Adakah dibolehkan orang islam menjadi penyanyi?
Scara amnya terdapat dua pendapat mengenai hal ini. Aliran yg meringan dan mengharuskannya atau aliran yg keras dan mengharamkannya.

Maka untuk mendapatkan jawapan yg memuaskan hati dan melapangkan dada kita, maka kita hendaklah mendapatkan fuqaha' yg menggunakan metod tahqeeqan (penilaian semula) yg menggunakan kaedah Jama' watTawfeek (memuwafakatkan dan menemukan) dalil-dalil yg berbedza dan bertentangan. Tujuan utama kaedah ini ialah mengambil faedah dan pengajaran yg berguna dari isu yg diperselisihkan. Fuqaha' yg paling disegani hari ini dgn metod tarjih/tahqeeq ini ialah Prof Dr alImam Abdallah Yusof alQardhawi (Malameh alMujtama' alIslami) yg telah mengumpulkan semua dalil dan pendapat baik alQur'an, asSunnah, sahabat, tabi'ien dan fuqaha'. Inilah rumusan Dr Qardhawi:
Seni musik dan nyanyian menurut hukum asalnya ialah HARUS kerana ia adalah fitrah manusia yg sukakan keindahan dan hiburan. Keharusan seni musik dan suara bertukar menjadi makruh, atau haram jika berubah perkara-perkara berikut:
a. isi, senikata, lirik, dan motif yg tidak bertentangan dgn adab dan susila Islam
b. Cara penyampaian, apakah ia menyuburkan syahwat dan ciri-ciri seksualiti dan yg diharamkan
c. Suasana (iklim) semasa ia disampaikan
d. Sederhana (tidak berlebihan dan melampaui) dalam menyintai seni muzik dan seni suara
e. Uruf pendengar adalah sebaik-baik hakim.
Pendapat Qardhawi ini sebenarnya juga pendapat fuqaha' yg lebih awal, antaranya Hujjatul Islam dan Imam alGhazali ra dalam kitab asSima' min Ihya': juga Fatawa Syaikhul alAzhar Mahmood Syaltut ( alFatawa Syaltut, cet 1960, Cairo) yg merumuskan:
a. Seni musik dan seni suara adalah sama hukumnya dgn memenuhi keperluan pancaindera yg lain seperti makanan yg lazat dan pemandangan yg indah
b. Islam menetapkan kesederhanaan dalam semua termasuk menghayati seni musik dan seni suara
c. Fuqaha' terdahulu telah membenarkan seni musik dan seni suara bila ada tujuan yg sesuai dan menasabah dan menegahnya bila ada unsur luaran yg tidak Islamik
d. Seni Musik dan suara semuanya tertakluk dibawah kelulusan Ilahi yg bersifat umum yg diisytiharkan dalam surah al_A'raf: 32.
Itulah gambaran umum musik dan seni suara secara umum.

Hukum menjadi penyanyi/artis adalah harus tapi seperti berjalan dipinggir gaung yg curam. Realiti hari ini artis disanjung dan dipuja. alQardhawi (malameh) berpendapat artis yg baik yg beriman boleh menjadi role-model dan perlu memanfa'atkan citarasa masyarakat yg menyukai seni untuk menyalurkan dakwah. Dunia penyiaran (broadcasting) yg menjadi sebahagian dari hidup manusia hari ini sebenarnya ketandusan artis yg berjiwa Islam yg mampu berkarya, ini kerana bidang penyiaran atau broadcasting dapat menyampaikan mesej kepada manusia dengan berkesan dan meluas bukan saja melalui seni musik, suara bahkan melalui pementasan, drama, dan filem cereka.

Adakah suara wanita itu aurat?

Masalah ini merupakan khilaf ulama', tetapi jumhurul Ulama' lebih kepada menyatakan tidak aurat kerana ia selari dengan prinsip agama Islam sebagai adDin Yusr (agama yang mudah); ini kerana wanita sebagai makhluk sosial seperti lelaki perlu berkomunikasi dalam kehidupan sehariannya, maka jika suara wanita itu aurat, maka sukarlah bagi wanita berkomunikasi. Auratnya suara wanita bergantung kepada kelembutan dan kemerduan suara wanita itu.

Dalil ialah ayat 32 dalam surah al_Ahzab
Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan yang lain kalau kamu tetap bertakwa. Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu) dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan).

Hujjatul Islam alGhazali (Ihya', Jld 2, ms 248) berpendapat,'suara wanita bukanlah aurat kecuali bila ia menyanyi.' alQurthubi (tafsir al_Qurthubi dalam ayat di atas menafsirkan bahawa suara wanita bukan aurat kecuali bila ia memerdukan, melunakkan, melembutkan suaranya semasa berhubung dengan lelaki ajnabi." Syaikh Atiyah Saqr, pengerusi J/kuasa fatwa al_Azhar university juga bersependapat dengan ulama' silam tersebut (Seem wal jeem lil Mar'atil muslimah); inilah juga pendapat Prof Qardhawi (Fatawa Mu'asirat)

Adakah dibolehkan seorang perempuan menjadi penyanyi?
Harus wanita bernyanyi jika senikatanya baik, berunsur nasihat dan merangsang kepada kebaikan. Jika cara penyampaiannya baik, tiada pendedahan aurat, beradab, maka diharuskan. Fatwa Mufti Wilayah Persekutuan, masail Fiqhiyah. Juga Fatwa Dr Abdul Karim Zaydan (alMufassal, Jld 4) Harus wanita melibatkan diri dalam seni suara dan muzik jika tiada unsur fitnah yakni maksiat, dosa atau syubhat. Dalil-dalil dalam masalah ini tiada yg mencapai taraf hasan-sahih atau mutawatir.

Pendapatan seorang penyanyi. Adakah ia halal?
Halal atau haram sesuatu pekerjaan bergantung kepada cara atau method pekerjaan itu. Sekiranya terdapat unsur haram di dalam pekerjaannya itu, maka haramlah pendapatanya. Memandangkan hukum menyanyi itu harus, maka pendapatannya adalah halal. Namun begitu, perlu diingat, keharusan hukum menyanyi ini bergantung kepada syarat2 yg telah diberikan. Ini bermakna hukumnya boleh berubah dari harus ke makruh begitu juga haram.

Wassalam

Rujukan

Islamic Fatwa Regarding Women – Compiled by Muhammad bin Abdul Aziz Al-Musnad 


Hukum Tentang Bursa Saham

Apakah hukumnya melabur di dalam saham BSKL? Kerana masyarakat umumnya tidak mengetahui dengan begitu jelas apakah perniagaan sebenar yang dijalankan oleh sesetengah syarikat di dalam BSKL itu.




--------

Salam

Isu pasaran Saham (share) adalah suatu perkara baru yang tidak dibincangkan dalam kitab-kitab feqah yang terdahulu. Membeli saham bermaksud anda membeli hakmilik dalam sesebuah syarikat. Pemilik saham bererti anda adalah salah satu pemilik syarikat tersebut.

Segala urusan pembelian dan penjualan saham diurus secara CDS (Central Depository System), ini bermakna urusan jual-beli saham hari ini diurus secara elektronik atau secara on-line sepenuhnya. Namun segala syarat jualbeli secara Islam telah dipenuhi dengan syarat semua pihak yang terlibat dalam urusan transaksi saham melakukan jual-beli atas kehendak sendiri dan bersih dari sebarang gharar (penipuan). Ini bermakna persoalan qabad (penyerahan hakmilik) secara fisikal tidak diperlukan dalam urusan jual-beli saham kerana ia melibatkan volume yang banyak dan tidak efisen jika dikendalikan secara fizikal dan manual.

Hukum Pasaran saham adalah harus dan disahkan oleh persidangan fuqaha' sedunia mengenai penubuhan keharusan dan kepentingan pasaran saham di negara-negara watan Islami sebagai salah satu cara mendapatkan modal perniagaan.

Persoalan menentukan halalnya operasi sesebuah syarikat yang disenaraikan di BSKL?
Ia boleh dirujuk kepada Indeks Rashid Hussin Bhd dan senarai yang dikeluarkan oleh Bank Islam Bhd; boleh juga merujuk kpd annual report syarikat tersebut atau merujuk kepada compilation syarikat-syarikat yang disenaraikan di papan utama dan kedua BSKL yang mendetailkan kesemua syarikat di BSKL termasuk maklumat tentang lembaga pengarah, aktiviti perniagaan dan senarai anak-anak syarikatnya. 


Hukum Talfiq

Ana ada sedikit kemusykilan....


Misalnya sesuatu masalah tu.... ada lebih daripada 1 pendapat... maka sebagaimana yg kita tahu... bolehlah kita mengambil mana-mana pendapat yang mengikut keselesaan kita mengamalkannya... Soalannya... bolehkah dia beramal dengan kedua-duanya...? Maksud ana... pada suatu ketika dia menggunakan pendapat A manakala pada sesuatu keadaan yg lain plak... dia gunakan pendapat B... dan dia bukan bermaksud untuk mempermain-mainkan agama....

Macam nilah... kalau pihak al-Ahkam tak faham jugak soalan saya.... begini.... contohnya... kalau si A menggunakan pendapat Z... maka pada setiap keadaan... adakah dia "perlu" berpegang kepada pendapat tersebut dan tidak boleh mengikut pendapat lain lagi...? hiey... musykil...musykil... Wallahua'lam...



Salam

Untuk memudahkan pemahaman anda, kami akan terangkan sekali lagi mengenai taklid, talfiq dan berkaitan dengannya.

Pembahasan ini telah dibicarakan secara terperinci dan hingga ke dasarnya di dalam ilmu Usul Fiqh. Ilmu ini amat penting bagi mereka yang benar-benar mendalami dasar-dasar pembinaan hukum Islam.
Taklid ialah: Mengikut pendapat seorang mujtahid tanpa mengetahui sumber dan cara pengambilannya. Seperti seseorang itu mengikut pendapat Imam SyafiI tanpa mengetahui dalilnya atau hujahnya. Orang seperti ini disebut muqallid.

Apa hukum bertaklid?
Hukum-hakam amaliyah dapat kita bahagikan kepada 2:

1. Hukum-hakam yang dapat diketahui tanpa memerlukan penelitian dan ijtihad. Iaitu hukum-hakam yang telah ditetapkan oleh dalil yang qathI dan yang dapat diketahui dengan segera. Ia disebut sebagai `al-malum minad din bid-dharurah. Contohnya ialah hukum tentang kewajipan sembahyang lima waktu, kewajipan puasa bulan ramadhan, bilangan rakaat dalam sembahyang dsbnya. Ini semua dapat diketahui oleh semua umat Islam. Pengetahuan tentang hukumnya tidak memerlukan kepada penelitian terhadap dalil-dalilnya.
Dalam maslaah ini, seseorang itu tidak dibenarkan bertaklid, kerana semua orang dapat mengetahuinya.

2. Hukum-hakam yang memerlukan penelitian dan ijtihad. Masalah-masalah yang berada di bawah kategori ini amat banyak sekali. Seperti masalah yang hukum menyentuh perempuan ajnabi, apakah batal wuduk? Ini adalah masalah yang termasuk di dalam kategori ini. Sebab, masalah ini memang ada dalilnya dari al-Quran. Tetapi dalilnya perlu diteliti terlebih dahulu untuk diketahui Apakah hukum yang boleh dikeluarkan darinya. Dalam penelitian dan kajian ini, sudah semestinya terjadi perselisihan pendapat. Mazhab-mazhab dan perbedaan-perbedaan pendapat di kalangan ulamak terjadi dalam dalam masalah yang seumpama ini.

Orang yang berusaha meneliti dalil-dalil, kemudian mengeluarkan hukum dari dalil berkenaan di namakan sebagai mujtahid. Antara mereka adalah seperti Imam SyafiI, Malik, Hanbali dll. Manakala mereka yang mengikutnya atau memakai hukum yang dikeluarkan oleh mujtahid disebut sebagai orang yang bertaklid. Perbuatan mengikut/memakai hukum berkenaan disebut sebagai bertaklid.
Dalam masalah inilah yang dibenarkan bertaklid.

Kebanyakkan ulamak Usul (Usul Fiqh) mengatakan bahawa mereka yang tidak berkeupayaan untuk berijtihad wajib mengikut dan mengambil pendapat atau fatwa dari para mujtahid (org yg berkeupayaan berijtihad).

Bertaklid kepada mazhab-mazhab

Mazhab-mazhab masyhur yang wujud hingga sekarang ini ialah mazhab SyafiI, Maliki, Hanafi dan Hanbali. Kita di Malaysia rata-rata bertaklid kepada mazhab Syafii.

Soalan: Apakah kita boleh bertukar kepada mazhab lain?
Jawab: Boleh. Kerana, apa bezanya SyafiI dan lain-lain mazhab di atas? Jika kita boleh bertaklid kepada mazhab SyafiI, ini bermakna kita juga boleh bertaklid kepada mazhab-mazhab lain.
Menurut Al-Amidi, Ibnu al-Najib dan Kamal al-Hummam, tidak wajib bertaklid kepada seorang mujtahid (mazhab) tertentu. Dalam satu masalah, mereka boleh beramal dengan mazhab ini, kemudian dalam masalah lain mereka beramal dengan mazhab lain.

Berdasarkan pendapat ini, jika kita bertaklid dengan mazhab SyafiI dalam satu-satu masalah, tidak semestinya kita mesti bertaklid dengan mazhab ini dalam semua masalah. Dibenarkan mengamalkan pendapat dari mazhab-mazhab lain.
Taklid yang diharamkan ialah:
1. Bertaklid kepada seseorang tanpa mengendahkan al-Quran dan Sunnah.
2. Bertaklid kepada seseorang yang tidak diketahui kemampuannya berijtihad.

Talfiq
Ialah mengikut pendapat satu-satu imam dalam satu-satu masalah, kemudian bertaklid kepada imam lain dalam masalah lain. Contoh, mengambil wuduk ikut cara Hanafi dan sembahyang ikut cara Syafii. Ataupun, pada hari ini dia bersembahyang ikut pendapat SyafiI dengan membaca Bismillah.., esoknya dia bersembahyang ikut pendapat Hanafi dengan tidak membaca bismillah.
Inilah yang dikatakan sebagai talfiq.

Kebanyakkan ulamak membahagikan talfiq kepada dua:

1. Mengambil pendapat yang paling ringan di antara mazhab-mazhab dalam beberapa masalah yang berbeza. Contoh: Berwuduk ikut Hanafi dan sembahyang ikut Maliki.

Apa hukumnya? Menurut ulamak-ulamak ini, talfiq dengan cara begini adalah dibenarkan, kerana dia mengamalkan pendapat yang berbeza dalam dua masalah yang berbeza Wuduk dan sembahyang.
Talfiq begini dibenarkan dalam bidang ibadah dan muamalat sebagai keringanan dan rahmat dari Allah Taala terhadap umat Muhamad.

Dibenarkan juga mengambil pendapat yang paling ringan antara mazhab-mazhab dalam satu masalah. Ia diamalkan pada masa yang berlainan yang tidak bergantung satu sama lain.
Contoh, Ali berwuduk menurut syarat-syarat yang telah ditetap oleh Syafii. Pada waktu lain dia berwuduk menurut syarat-syarat yang ditetapkan oleh Hanafi.

Talfiq seperti ini dibenarkan kerana wuduk pertama yang menurut syarat SyafiI telah selesai dan digunakan untuk satu-satu ibadah hingga selesai. Kemudian wuduk keduanya menurut Hanafi juga selesai dan digunakan untuk tujuan tertentu hingga selesai. Jelasnya ia dilakukan, sekalipun masalahnya sama tetapi dalam peristiwanya berbeza.


2. Mengambil pendapat yang paling ringan di antara mazhab-mazhab dalam satu masalah. Talfiq begini tidak benarkan.
Contoh, Ali bernikah tidak menggunakan wali kerana ikut Hanafi. Dia tidak memakai 2 saksi kerana mengikut pendapat Maliki.
Pernikahan seperti ini adalah batal/tidak sah.

Untuk menjelaskan lagi mengenai mengambil pendapat yang ringan ini kita bahagikan juga kepada dua:

Pertama: ringan itu kerana seseorang itu dari jenis yg sukakan yg mudah-mudah dalam agama dan yg ringan itu disandarkan pd dalil yg lemah atau hadis yg dha'ef. Jika keringanan ini disandarkan pada dalil yg lemah atau hadis dha'ef bahkan mungkar sedangkan ada pendapat lain yg disandarkan pada dalil yg kuat atau hadis hasan atau sahih, maka ini talfiq (memilih yg ringan2) yg dilarang.

kedua: jika pendapat yg ringan itu disokong oleh dalil yg kuat, menyamai pendapat yg keras juga disokong oleh dalil yg kuat, maka orang awam digalakkan mengambil yg ringan dan mudah sesuai dengan intipati Islam itu mudah dan tidak mempersukar. Ini talfiq yg harus (Prof Hasbi Siddiqiey, Pengantar Ilmu Fiqih, Pustaka Rizki Putra, Semarang.)

Ittiba
Ialah menerima pendapat orang lain dengan mengetahui sumber atau hujahnya.
Ittiba adalah sebaik-baik cara menerima dan mengamalkan pendapat dari mujtahid.


sebenarnya orang awam tidak ada madzhab. Madzhab atau ikutan masyarakat ialah ulama' yg ada disekelilingnya atau siapa yg ia sering bertanya. Jika anda bertanya orang Hanafi, maka anda boleh ikut. itulah cara taklid. Orang bertaklid tak ada madzhab.

Jika anda membuat keputusan untuk ittiba' (meneliti dalil), maka anda hendaklah meneliti satu persatu bermula dari taharah, wudhu', tatacara solat, puasa, Zakat, haji, mengikut pendapat semua madzhab. Anda kena kosongkan kecenderungan pada mana-mana madzhab, anda hendaklah mencari pendapat yg paling kuat dalam setiap aspek fiqh harian anda.
itulah pilihan yg anda:

jika anda hanya ingin taklid dan akan bertanya dari masa kesemasa, maka anda tidak perlu ikut mana-mana madzhab, sebab muqallid tidak perlu tahu dalil dan sandaran.
Jika anda kemampuan utk mengikuti perbahasan dalam fiqh, maka anda boleh memilih mana-mana pendapat Madzhab mengikut kajian anda paling kuat.

Tidak ada nas syara' yg mengatakan madzhab duduk dibaris ketiga selepas AQ dan asSunnah. Banyak orang menganggap madzhab adalah rukun ketiga fiqh selepas AQ dan asSunnah.
Ini adalah myth sahaja. WA


Wassalam

rujukan
Europran Council For Fatwa and Research(First Collection of Fatwas) 


Nikah Ketika Hamil

Assalamualaikum Ada orang bagi fatwa, bahawa tak sah kahwini wanita yg sedang hamil akibat zina. kalau dibuat akad maka tak sah dan mereka d...